Gerakan dakwah adalah diumpamakan seperti para
pendaki gunung. Apabila kita sudah sampai pada suatu ketinggian, jika kita melihat
ke puncak yang ingin kita capai, itu rasanya masih jauh, tapi kalau kita memandang
ke bawah, itu akan terasa lebih jauh lagi.
Jika kita turun, ianya akan menambahkan lagi
keletihan untuk sampai ke bawah. Mungkin itu lebih menambah keletihan berbanding
kalau kita naik ke atas. Jika kita naik, beban kita bertambah, sumber oksigen
kita berkurang. Maka, apakah kira-kiranya yang akan membuatkan nanti kita boleh
sampai ke atas itu?
Rata-rata para
aktivis dakwah teras sudah terlibat dalam tarbiyah dalam jangka waktu antara 15
hingga 20 tahun dan dari sudut umur, rata-rata mereka ini juga tidak lagi boleh
disebut muda kerana jika kita melihat bahwa umur ummat Rasulullah saw itu
antara 60 hingga 70 tahun, maka kita sebenarnya sudah memasuki sepertiga
terakhir.
Jika kita
melihat perkara ini dan lingkungan kehidupan seperti sekarang ini, hampir dapat
dipastikan bahwa kita tidak mampu melakukan amal-amal besar kecuali satu atau
dua sahaja.
Umur 0-20 tahun
setiap manusia adalah yang paling kuat perkembangannya dari aspek fizikal lalu mencapai
puncaknya di usia 20-an. Umur 20-an hingga 40 adalah puncak pencapaian
intelektual seseorang manakala umur 40 – 60 adalah puncak dari sudut
kerohaniannya.
Persimpangan
40-an ini ketika fizikal kita masih kuat dan tahap pemikirannya mencapai
puncaknya, kita juga sedang memasuki fasa kerohanian yang kuat. Biasanya ini
disebut sebagai tahun-tahun kematangan sekaligus fasa terakhir dari hidup kita.
Jadi, jika kita
menggeluti sesuatu seperti tarbiyah ini dari usia 20-an sampai usia 40-an, maka
fasa 40-an ini adalah “Golden age” (Umur emas) dari seluruh
pencapaian hidup kita semuanya sepertimana yang dirakamkan oleh Allah swt dalam
firmanNya :
“Dan tatkala dia
(Nabi Yusuf) cukup dewasa Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu.
Demikianlah Kami
memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” (QS Yusuf : 22)
Oleh kerana itu,
kita berharap di dalam fasa hidup ini, kita dapat melakukan sesuatu yang
besar atau yang
sering diistilahkan dengan “Amal yang unggul” yang kita
harapkan dapat
menghantarkan
kita ke syurga Allah swt.
Ini adalah satu
pemikiran yang amat penting agar ianya menjadi suatu kesedaran individu untuk
kita semua bahwa kita sedang memasuki sepertiga terakhir dari perjalanan hidup
kita dan mesti ada pencapaian yang benar-benar besar yang mampu menghantarkan
kita ke syurga Allah swt.
Untuk sampai ke
matlamat yang agung itu, kita hendaklah memulakannya dengan ‘Tarbiyah’
kerana walaupun ‘Tarbiyah’ bukan segala-galanya tapi semua perkara bermula dari
‘Tarbiyah’.
TARBIYAH, SENI
MENCIPTAKAN MANUSIA
Dalam salah satu ucapan Ustaz Anis Matta, beliau merujuk
kepada salah seorang pendakwah abad moden, Muhammad Qutb yang menulis sebuah buku yang memberikan landasan falsafah, teori dan
penerapan konsep tarbiyah iaitu yang bertajuk ‘Manhajut-Tarbiyah Islamiyah’. Buku ini terbagi kepada
dua jilid iaitu jilid pertama
menceritakan tentang teori dan jilid kedua membahaskan tentang aplikasinya.
Beliau
mendefinisikan ‘Tarbiyah’ dalam satu kalimah yang sederhana, namun mewakili kefahaman tarbiyah yang benar iaitu :
“At-Tarbiyah
hiya fannush shinaa’atil insaan”. (Tarbiyah adalah seni menciptakan manusia).
Setelah Allah swt menciptakan
manusia dalam bentuknya yang utuh dengan keseluruhan jasadnya, maka tugas ‘tarbiyah’ adalah “mengulang ciptakan” manusia tersebut di atas bentuk asas fitrah semasa kelahirannya.
Oleh kerana itu beliau mengatakan “At-Tarbiyah hiya fannush shinaa’atil
insaan”, atau seni menciptakan manusia. Apabila kita
tambahkan dengan ‘Shifatul
Islam’, sehingga menjadi ‘Tarbiyah Islamiyah’, maka ‘Tarbiyah Islamiyah’ adalah seni menciptakan manusia dengan cara-cara
yang Islamik.
Bagaimanakah cara menciptakan
manusia dengan cara Islam?
Pertama
sekali kita hendaklah kembali
kepada definisi Islam, yang kemudian diintergrasikan dengan makna ‘tarbiyah’ itu sendiri.
Islam adalah sistem hidup yang
diturunkan Allah swt bagi manusia dengan bumi sebagai ruang hidupnya
dan rentang masa kerja yang disebut sebagai umur dalam skala individu
sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Qur’an :
“Tiap-tiap yang berjiwa akan
merasakan mati…” (QS Ali ‘Imran :185)
Selain itu juga ada pengumpulan umur
individu-individu dalam satu komuniti yang membentuk umur umat dan jika umur
umat digabung menjadi satu, maka ia akan menjadi umur peradaban.
“Tiap-tiap umat mempunyai
batas waktu…” (QS Al-A’raaf : 34)
Oleh yang
demikian, ada tiga unsur yang
saling berinteraksi iaitu :
a. Ruang berupa bumi.
b. Waktu atau zaman.
c. Manusia sebagai
pelaku di dalam ruang dan waktu tersebut.
Agar manusia mampu berinteraksi
dengan sesama manusia dan dengan alam ruang dan waktu tertentu, maka ia
memerlukan panduan berupa agama.
Interaksi manusia di dalam ruang
dan waktu tertentu dengan menggunakan ajaran agama disebut ‘At-Tafaa’ul ad-diiniy’ (interaksi agama), yakni manusia yang meyakini nilai-nilai
agama kemudian menerapkannya satu persatu di dalam kerangka ruang dan waktunya.
Perkara yang
paling penting adalah berlakunya proses interaksi antara nilai-nilai yang diyakini
atau agama dengan manusia yang menjadi pelaku dalam ruang dan waktu tertentu.
Apabila melihat kembali proses penciptaan manusia, maka ketika Allah swt menciptakan
Adam dan Hawa, agama yang diturunkan kepada Adam dan Hawa pun disesuaikan
dengan keperluan kedua-dua orang tersebut. Tentu sahaja pada waktu
itu belum ada ajaran agama tentang negara.
Kemudian ketika Adam dan Hawa
mulai membentuk keluarga, maka ajaran agama yang turun disesuaikan dengan keperluan struktur
sosial manusia sebagai keluarga.
Seterusnya ketika keluarga ini berkembang menjadi
kabilah dan mulai memenuhi wilayah-wilayah lain di muka bumi ini, maka agama
yang diturunkanNya juga disesuaikan dengan keperluan kabilah.
Demikian pula ketika kabilah
berkembang lebih besar lagi sehingga menjadi bangsa, maka agama yang
diturunkanNya pun disesuaikan pula dengan keperluan berskala negara.
Oleh kerana itu, diperlukan ramai
para nabi dan rasul untuk
membawa ajaran-ajaran agama yang disesuaikan dengan pertumbuhan manusia, agar
agama sebagai panduan sesuai dengan keperluan manusia dalam menjalani kehidupan dan
berinteraksi di dalam ruang dan waktunya itu.
Dalam satu riwayat disebutkan
bahwa jumlah nabi dan rasul itu sekitar 125,000 orang dan di riwayat lain disebutkan
sekitar 350,000 nabi dan rasul, hingga akhirnya Allah swt menghentikan mata rantai kenabian itu
pada diri Nabi Muhammad saw sebagai nabi terakhir.
Seterusnya manusia dianggap sudah mampu berinteraksi
tanpa perantara nabi dan langsung menggunakan Al-Qur’an sebagai panduan.
Proses manusia menerapkan
nilai-nilai agama di dalam ruang dan waktunya bukan proses yang spontan, malah ia memerlukan waktu yang panjang.
Pertama
sekali diperlukan waktu
untuk memahami isi kandungan panduan tersebut secara benar dan setelah
memahaminya diperlukan pula waktu untuk memahami cara
mengimplementasikannya sesuai dengan ruang dan waktu
tersebut.
Seterusnya, pada ketika proses implementasinya, diperlukan juga kefahaman tentang
realiti ketika isi kandungan tersebut diterapkan dan setelah difahami realiti pada ketika perlaksanaannya, mungkin ditemui fakta baru tentang
keterbatasan sebagai manusia.
Di saat itulah disedari bahwa :
1. Mungkin ada kefahaman yang
salah tentang isi kandungan panduan tersebut.
2. Mungkin juga benar
cara memahaminya tetapi salah cara menerapkannya.
3. Mungkin boleh jadi
benar cara memahaminya dan benar juga cara mengimplementasikannya, tetapi konteks
ruang dan dan waktunya tidak sesuai.
PEMBANGUNAN PROSES
BERAGAMA
Oleh kerana itu, istilah ‘Amaliyatut Tadayyun’ menunjukkan kepada proses beragama yang berlangsung secara terus
menerus. Di dalam Islam, penilaian pada diri seseorang bukan hanya pada
awal kehidupannya, pertengahannya atau pengakhirannya, melainkan dilihat secara keseluruhannya, walaupun memang darjat yang paling
menentukan adalah pada hujung kehidupan seseorang.
Ketika seseorang ditarbiyah
dengan cara-cara Islam, maka bererti ia dibantu untuk memahami isi kandungan
panduan dan cara melaksanakannya serta didorong untuk melaksanakannya.
Apabila
kemudiannya di medan sebenar ketika berinteraksi ditemui fakta bahwa orang tersebut memiliki kesalahan
dan kekurangan, maka hal itu menunjukkan bahwa proses beragama itu (‘Amaliyatut Tadayyun) masih terus
berlangsung secara terus menerus sepanjang hidup sebagai proses
pembelajaran (‘Amaliyatut Ta’allum) sepanjang hidup.
Oleh kerana itu, agama Islam juga menyediakan satu
konsep lain yang disebut perbaikan berterusan (Ishlaahul Mustamir) melalui mekanisma taubat.
Taubat adalah konsep perbaikan yang berterusan.
Selama ini ramai yang salah faham dalam istilah taubat sehingga menganggap taubat hanya berupa
pengakuan dosa.
Padahal misalnya, seseorang yang
baru sahaja selesai mengerjakan solat, juga mengucap istighfar, kerana mungkin juga pada ketika dia solat, hatinya tidak khusyu’.
Oleh kerana itu, walaupun seseorang sedang melakukan
suatu amal yang apabila dilihat secara fiqahnya, kewajiban tersebut
sudah selesai ditunaikan, namun ia tetap terus beristighfar
atas ketidaksempurnaan amalnya.
Apalagi Rasulullah saw bersabda bahwa
berapa ramai orang yang solat, namun tidak mendapatkan dari solatnya kecuali
hanya sepersepuluhnya, maka konsep taubat juga bermakna penyempurnaan amal.
‘Amaliyatut Tadayyun (Proses beragama)
bukanlah satu proses spontan yang terus memberikan hasil, melainkan ianya memerlukan waktu sebagaimana proses pertumbuhan
manusia di dalam rahim ibu juga bertahap.
Inilah hikmahnya
kenapa seseorang nabi itu diangkat pada tingkatan kematangan usia tertentu, yakni pada ketika puncak
kematangannya.
“Dan tatkala dia cukup dewasa…” (QS Yusuf : 22)
Demikian pula manusia tumbuh dan
berkembang, sehingga umur 1-20 tahun berbeza dengan umur 20-40 tahun, dan berbeza lagi dengan
manusia dari 40 ke 60 tahun.
Begitu juga ketika seseorang
berusaha memahami teks Al Qur’an dan As Sunnah yang akan berbeza di setiap fasanya. Sukar misalnya
membacakan surah As-Sajdah ayat 16 kepada seorang remaja berusia 15
tahun, bahwa seolah-olah ia tidak boleh tidur.
“Tatajaafa junuubuhum ‘anil madhooji'”
Perkara
itu akan menjadi sesuatu yang sukar untuk dimengerti oleh remaja tersebut.
Demikian
pula ketika dibacakan ayat tentang makar sebagaimana dalam surah Ali-Imran ayat
54 :
“Wa makaruu wa makarAllah”
Ini adalah kerana pengumpulan pengalaman hidup, bacaan dan pengetahuan, akan
mempengaruhi cara seseorang memahami ayat-ayat tersebut.
Demikian rumitnya proses ‘Amaliyatut
Tadayyun’,
sehingga hanya dengan memahami proses beragama itulah, kita akan dapat memahami
pula rumitnya ‘Amaliyah Tarbawiyah’ (Proses tarbiyah)
dan ‘Amaliyatut
Takwin’ (Proses pembinaan) yang diterapkan kepada seseorang
agar mampu berinteraksi dengan ruang dan waktunya berdasarkan rujukan
nilai-nilai agamanya.
Lebih-lebih lagi pelakunya adalah manusia dan objek pembinaannya pun manusia yang memiliki perbezaan-perbezaan, sehingga “Output” (Hasil akhir) pun
menjadi berbeza-beza.
Oleh kerana itu, yang lebih perlu kita fahami dan
sepakati adalah ukuran hasil akhir seperti apa yang ingin dilahirkan oleh Islam
melalui ‘Amaliyah Tarbawiyah’
tersebut.
HASIL AKHIR TARBIYAH
Selama ini yang sering
disebut-sebut sebagai tujuan ‘Tarbiyah Islamiyah’ adalah menciptakan ‘Insan Kaamil’ dan yang disebut ‘Al Insanul-Kamil’ adalah ‘Al-Insaanul-Malaakiyyun’ sementara secara
tabi’enya, tidak ada manusia
yang menyerupai malaikat.
Sebahagian dari sifat malaikat memang ada di dalam diri
manusia, namun sebahagian sifat syaitan juga ada. Kedua unsur yang ada dalam
diri manusia tersebut terus berusaha untuk saling mengalahkan.
Oleh kerana itu, perlu ditegaskan bahwa ‘Output Tarbiyah’ bukanlah ‘Insan Kaamil’ melainkan yang hendak
dicapai adalah ‘Al Insaanush-Shaalih’ yang sesuai dengan kebaikan Islam untuk setiap zaman dan tempat.
Aplikasi agama ini boleh diadaptasikan terhadap
ruang dan waktu, sedangkan orang yang soleh adalah orang yang paling
sesuai untuk seluruh ruang
dan waktu tersebut. ‘Output Tarbiyah Islamiyah’ mestilah juga mampu
menghasilkan manusia-manusia
soleh yang bijaksana untuk zaman dan tempat yang
mereka hidup.
Perbezaan antara ‘Al Insaanus-shaalih’ dan Al Insaanul kaamil’ itu sangat besar kerana kebaikan itu tidak dapat berdiri sendiri.
Kebaikan mempunyai makna apabila dinisbahkan kepada ruang
dan waktunya. Demikian pula halnya dengan akhlak, yang juga tidak dapat berdiri
sendiri, kerana ‘Al Akhlaaqul Faadhilah’ atau akhlak-akhlak yang utama juga tidak dapat berdiri sendiri dan baru mempunyai makna
manakala dinisbahkan kepada ruang dan waktunya.
Sebagaimana Allah swt melukiskan dua
karakter orang-orang beriman yang bertentangan :
“Asyidda-u ‘alal kuffaar,
ruhamaa-u bainahum.” (Bersikap keras terhadap
orang-orang kafir dan berkasih sayang antara orang-orang yang beriman)
Sifat ‘Asyiddaa’ dengan ‘Ruhamaa’ lahir dari satu jiwa yang sama, tetapi
tertuju kepada objek yang berbeza, dalam ruang dan waktunya yang berbeza dan dalam
konteks yang juga berbeza. Jiwa yang sama melahirkan respon yang berbeza kepada objek-objek yang
berbeza.
Oleh kerana itu, sifat keras tidak boleh serta merta
dikira semata-mata baik atau sebaliknya buruk, melainkan harus dilihat sesuai
dengan objeknya dan konteks ruang dan waktunya.
Ada ketika seseorang perlu bersikap keras, dan justeru malah salah
jika ia bersikap lembut.
Sebaliknya pada saat seseorang perlu bersikap lembut, maka akan salah jika ia bersikap keras.
Ertinya, akhlak bergantung pada
fungsi, sehingga seseorang tidak menjadi baik dengan sendirinya jika
karakternya hanya satu, iaitu lembut sepanjang masa atau sebaliknya, keras sepanjang masa.
Manusia perlu mengatur bagaimana melaksanakan fungsi-fungsi seluruh
karakter-karakter tersebut.
Manusia beriman yang diinginkan
sebagai ‘Produk Tarbiyah’ perlulah mempunyai mekanisma pengarahan di
dalam dirinya yang akan membantu mengeluarkan sifat-sifat tersebut berdasarkan
ruang dan waktunya, sehingga ketika objeknya berbeza, maka penyikapannya pun berbeza.
KEPENTINGAN
FAKTOR RUHIYAH
Oleh yang demikian, perlu dijelaskan
bahwa apapun yang berlaku dan menimpa kita dan sebesar apapun ujian itu maka
yang perlu kita lakukan adalah memastikan tindakbalas yang tepat.
Seringkali ketika kita merasa besar dan
bangga dengan sumber daya dan tenaga yang kita miliki justeru melupakan
kekuasaan Allah ke atas setiap peristiwa.
Dalam hitungan material, aset bahkan bilangan
aktivis dakwah kita selalunya menjadi kebanggaan kita disebabkan oleh jumlah
yang besar dan banyak seolah-olah ianya kuat padahal ketika sedikit sahaja kita
mengabaikan faktor faktor ‘Ruhiyah’ maka semua sumber daya dan
tenaga tersebut akan menjadi rapuh kerana yang berlaku sesungguhnya adalah ketika
kita sudah mengerahkan seluruh potensi dan menggantungkan harapan dalam doa-doa
kita maka kelemahan dan kekurangan kita akan dicukupkan oleh Allah swt.
Ketika kita membaca sejarah peradaban, kita akan menemui satu kaidah bahwa :
1. Pada
saat sebuah peradaban sedang naik maka sesungguhnya peradaban tersebut sedang
dikendalikan oleh ‘Ruh’. Pada saat itu, produktiviti kita jauh lebih besar dari
sumber daya dan tenaga yang kita miliki.
2. Ketika
peradaban berjalan mendatar maka yang mengendalikannya adalah rasional atau
akal dan perkara itu menunjukkan bahwa kewujudan sumber daya dan tenaga
berkadar lurus dengan produktiviti kita.
3. Ketika
peradaban itu jatuh merudum maka bererti ia sedang dikendalikan oleh syahwat
atau hawa nafsu dan itu memperlihatkan satu gambaran bahwa produktiviti kita
jauh lebih rendah daripada sumber daya dan tenaga yang kita ada ada.
KESEMPURNAAN TARBIYAH
RUHIYAH
Kelemahan kita seringkali tidak mengambil seluruh sudut tarbiyah dalam
proses pembentukan keperibadian kita.
Boleh jadi, ‘Tarbiyah Ruhiyah’ membantu kita menjadi peribadi yang soleh
dalam semua aspek, namun kerana tidak utuh, kita tidak mempunyai tenaga
sehingga menjadi orang baik yang tidak berdaya dan tidak bertenaga lalu tidak dapat
pula diharapkan untuk memikul beban dakwah.
Tenaganya hanya cukup untuk memikul beban bagi dirinya sendiri sehingga
tidak memiliki tenaga untuk memikul beban-beban yang lain, apalagi melawan
halangan-halangan yang dibawa oleh musuh.
Maka, akhirnya jadilah ia hanya hadir secara rutin dalam pertemuan seminggu
namun bersikap sepi dari sudut aktiviti, produktiviti dan pengorbanan yang di luar
dari ‘tiga
jam’ pertemuan rutin tersebut.
Mungkin juga seseorang menjadi ikhlas dengan mengambil satu sudut dari ‘Tarbiyah
Ruhiyah’, yakni dari penyaluran tenaga sehingga mempunyai kekuatan
untuk memikul beban ibadah asasi, berbakti kepada ibu bapa, memenuhi kewajiban
isteri dan keluarga serta melaksanakan kewajiban dakwah.
Namun, jika adanya tekanan, ujian, musibah atau bahaya yang menimpanya,
dia tidak kuat untuk menghadapinya dan lebih memilih untuk menghindarkan diri
darinya bahkan mungkin juga berpatah ke belakang atau mundur dari gelanggang
dakwah hanya kerana mendapat “Goncangan pemberitaan” yang dia
sendiri tidak pernah melihat dan mengetahui langsung persoalan sebenarnya.
Lalu akhirnya ‘Tsiqah’ (Kepercayaan) yang berpuluh
tahun kepada kepimpinan dakwah hilang serta
merta dengan hanya disapukan oleh satu hari berita media.
Maka, tercapailah sasaran halus syaitan yang tidak disedarinya iaitu mencampakkan
keluar seseorang aktivis dakwah itu dari jamaah dakwah.
Oleh yang demikian, kesempurnaan ‘Tarbiyah Ruhiyah’ itu wujud ketika
semua aspek ini berhasil dipenuhi di mana tarbiyah mampu melahirkan orang-orang
yang :
a.
Memiliki orientasi hidup yang jelas.
b.
Mempunyai daya dan tenaga untuk memikul beban.
c.
Mampu melawan dan menghadapi semua halangan dan tentangan musuh.
d.
Boleh merubah halangan dan tentangan musuh menjadi satu anugerah.
MENELUSURI CARA BERFIKIR PEMENANG
Satu perkara yang perlu difikirkan bahwa apabila wujudnya
kesempurnaan ‘Tarbiyah Ruhiyah’ dalam diri setiap aktivis dakwah maka satu
lontaran persoalan yang semestinya bermain di dalam minda kita bahwa apakah
gerakan dakwah kita masih relevan dengan suasana zaman dan tempat yang kita
lakukan perjuangan ini yang akan menjadi paradigma kepada sebuah kemenangan.
Manurut Ustaz Anis Matta lagi bahwa ruhiyah yang mantap akan
membuatkan kita berani mengambil risiko dan menghadapi halangan musuh.
Ada empat (4) ‘mindset’ (Cara berfikir) yang diperlukan
untuk menjadikan sesebuah gerakan dakwah itu tetap relevan dan akan muncul sebagai
pemenang.
PERTAMA : ‘AQLIYATUL HANDASAH’ (CARA BERFIKIR KEJURUTERAAN)
Kita perlu merekacipta dan mengolah segala sesuatu yang ada
di muka bumi dengan fungsi kita sebagai khalifah. Tugas kita sebagai khalifah
adalah mengelola bumi ini sesuai dengan petunjuk Allah di dalam ruang dan waktu
kehidupan yang diberikan oleh Allah swt kepada kita. Selain itu kita juga perlu
mencipta suasana yang kondusif agar manusia dekat dengan Islam berasaskan
strategi-strategi berikut :
1. Ciptakan ruangan kebebasan untuk memilih serta hapuskan suasana
keterpaksaan dan kediktaturan.
2. Menyebarkan kebebasan berfikir kerana inilah pintu kepada seseorang
untuk dekat dan masuk kepada agama.
3. Ciptakan kesejahteraan sepertimana di dalam surah Quraish di mana
perintah ibadah hanya dilaksanakan setelah persoalan ekonomi dan keselamatan
diselesaikan serta hilangnya kebuluran dan ketakutan dari kehidupan manusia.
KEDUA : ‘AQLIYATUL TASKHIIR’ (CARA BERFIKIR PENAKLUK)
Melalui ‘cara berfikir penakluk’, ia
membantu kita untuk memahami halangan dan tentangan yang kita hadapi pada saat
menterjemahkan wahyu ke dalam realiti yang sebenar kerana pada masa kita berusaha untuk mengintegrasikan antara
teks dan konteks atau antara norma dengan realiti, kita pasti akan menemui halangan-halangan
dan hambatan-hambatan. Namun yang terpenting sebenarnya adalah bagaimana kita
perlu mengatasi halangan atau hambatan tersebut dan bagaimana pula untuk menjadikan
halangan atau hambatan tersebut justeru menjadi jambatan untuk kita taklukkan.
Dalam perspektif penaklukan, tidak ada halangan atau
hambatan yang tidak dapat dihadapi, kerana besar kecilnya sesuatu halangan atau
hambatan tersebut sesungguhnya ditentukan oleh ‘cara berfikir’ kita
sendiri.
Sebagai contoh, ianya berlaku ketika peperangan Al Qadisiyyah
di Iraq selama 4 hari di mana tentera Islam pimpinan Saad bin Abu Waqqas yang
berjumlah 36,000 berhadapan dengan 120,000 tentera Parsi dengan angkatan
bergajah. Tentera Islam menghadapi masalah untuk menyeberangi sungai Furat.
Setelah 2 hari diasak oleh tentera bergajah Parsi, panglima
tentera Islam iaitu Qa’qa bin Amru mencadangkan agar kuda-kuda dan unta-unta
tentera Islam disolek dan dihias dengan hiasan yang menggerunkan dan ini
berhasil menakutkan gajah-gajah tentera Parsi.
Pada hari ketiga, 2 orang berbangsa Parsi yang telah memeluk
Islam, iaitu Dakhar dan Salam di dalam tentera tambahan Islam pimpinan panglima
Hashim bin Utbah mencadangkan belalai gajah
perang milik tentera Parsi hendaklah dipotong dan mata gajah tersebut hendaklah
dibutakan dengan anak panah tentera Islam bagi mengkucar-kacirkan tentera
bergajah Parsi. Taktik ini berjaya di mana pertempuran hari ketiga itu dikuasai
oleh tentera Islam setelah tunjang utama kekuatan tentera Parsi iaitu tentera
bergajah dapat ditewaskan.
Pada hari terakhir, ketumbukan utama tentera Islam berjaya
mengalahkan tentera Parsi dan 2 orang panglima mereka iaitu Bahman Jadu dan Rostam Farrokhzad terkorban dan inilah bermula titik
tolaknya kejatuhan Empayar Parsi Sasanid.
Pelajaran dari peristiwa ini bahwa ‘cara berfikir’ penakluk yang ada
pada tentera Islam inilah akhirnya berjaya menembusi segala halangan dan
hambatan fizikal yang dikenakan oleh tentera musuh.
KETIGA : ‘AQLIYATUT TAJRUBAH’ (CARA BERFIKIR EXPERIMENTAL)
Dengan memiliki ‘cara berfikir’ seperti ini, kita
akan sentiasa belajar dari pengalaman lepas dan akan mengaplikasikannya untuk
menghadapi permasaalahan di masa hadapan. Oleh yang demikian, kita akan
berusaha sepanjang hayat tanpa risau akan kegagalan yang akan dihadapi. Sekali
kita gagal, kita akan cuba lagi dan jika gagal lagi teruskan mencuba lagi.
Kita tidak boleh mundur ke belakang walaupun menghadapi
kegagalan bahkan kegagalan itu terus dipelajari dan dibuat penambahbaikan
sehingga matlamat dan cita-cita perjuangan kita tercapai.
KEEMPAT : ‘AQLIYATUL IBDA’IE’ (CARA BERFIKIR INOVATIF)
Gabungan antara norma yang kita yakini dan pengalaman yang
kita perolehi akan memunculkan apa yang disebut oleh Imam Al Ghazali sebagai
pengetahuan ketiga.
Jika norma atau teori dan pengalaman menyatu, maka ia akan
menghasilkan satu intuisi. Setelah itu, ia akan bergerak ke tahap selanjutnya iaitu
menciptakan sesuatu yang baru yang belum pernah diciptakan oleh orang lain
sebelum ini.
Jika kita melihat kembali kepada manhaj yang telah
ditinggalkan oleh Imam Hasan Al Banna terutama yang berkait dengan tujuh (7)
tingkatan amal dakwah, niscaya kita dapati amat banyak bahan-bahan yang telah
digarap oleh beliau berkait dengan individu muslim di mana kita seharusnya
berusaha untuk melengkapkan diri kita dengan ciri-ciri keperibadian muslim yang
mantap. Kemudian diikuti pula dengan cara-cara bagaimana untuk mendirikan
baitul muslim serta mengukuhkannya. Seterusnya usaha-usaha yang boleh dilakukan
untuk melahirkan masyarakat Islam contoh.
Namun, semakin kita berusaha menaiki tingkatan-tingkatan
amal tersebut, semakin sedikit bahan-bahan manhaj yang tersedia sehingga sampai
ke persoalan politik ke arah mendirikan daulah dan khilafah serta ‘Ustaziyatul
‘Alam’, tiada suatupun warisan pemikiran yang terperinci yang boleh
dikembangkan serta dijadikan sebagai asas untuk melangkah dan bergerak untuk
mencapai matlamatnya.
Oleh yang demikian, kita perlu menyempurnakan manhaj politik
secara inovatif dan mengeluarkan suatu teori dan pemikiran politik baru yang
bersesuaian dengan zaman dan keadaan yang kita hadapi saat ini.
Era kita sekarang ini adalah era negara atau era prestasi
dan pencapaian. Mereka dahulu menjelaskan Islam secara naratif. Sekarang kita perlu
menjelaskan Islam secara persembahan yang menjadi kayu ukur prestasi atau pencapaian.
Itulah tugas kita sekarang ini.
Membangunkan
gerakerja politik adalah sebuah kemestian dalam perjalanan dakwah yang panjang dan penuh dengan
onak dan duri.
Dakwah ini memerlukan :
a.
Bahan bakar berupa persiapan ilmu.
b.
Minyak pelincir berupa kejernihan ‘Ruhiyah’.
c.
Kerangka yang sempurna untuk memikulnya.
Tidak ramai orang yang mampu menterjemahkan jalan ini, begitu
juga sungguh sedikit para
pemikulnya yang benar-benar faham erti hakiki dari makna menyeru kebenaran, namun jalan ini
begitu indah untuk mereka yang :
1.
Mengharapkan cinta sejati dari Rabbnya.
2.
Sentiasa menjadikan keridhaanNya adalah orientasi di
setiap serpihan langkah-langkah menjejaki jalan yang indah ini.
Cita-cita kita yang
begitu tinggi iaitu menjadikan Islam tidak hanya sebagai sebuah ajaran keagamaan sahaja tapi lebih dari itu kita bercita-cita
untuk menjadikan Islam sebagai
kiblat suatu peradaban yang tinggi (Ustaziatul ‘alam).
Oleh yang demikian, politik (siyasah) perlu kita dakwahkan dan dakwah perlu kita jadikan
agenda politik (siyasah).
Ya Allah, jadikanlah kami para pemikul
dakwahMu yang akan menterjemahkan risalah dakwah kepada suatu kekuasaan yang
menjadi kiblat dan contoh tauladan peradaban yang tinggi kepada umat manusia
seluruhnya.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS